KUALA LUMPUR 11 Dis. – Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) terus mengekalkan pandangan berhemat terhadap industri dan akan bertindak balas dengan berhati-hati terutama berkaitan projek modal baharu ekoran ketidaktentuan pasaran yang dijangka berterusan pada 2019.

Naib Presiden Perolehan Kumpulan Petronas, Samsudin Miskon berkata, 2018 menyaksikan ketidaktentuan harga minyak yang hebat dengan Brent meningkat kepada AS$86 (RM359.65) setong pada awal Oktober berbanding AS$67 (RM280.19) setong pada awal tahun ini.
Namun, katanya, pada awal Disember, Brent merosot sebanyak 30 peratus kepada AS$57 (RM238.37) setong berikutan lebihan bekalan di pasaran.
“Bagaimanapun pada 2018, secara amnya tahap aktiviti sebenar dilakukan adalah seperti yang diunjurkan,” katanya dalam laporan Tinjauan Aktiviti Petronas (PAO) 2019-2021 dikeluarkan di sini hari ini.
Petronas mengeluarkan laporan tersebut untuk berkongsi perspektif kumpulan mengenai trend industri, permintaan dan prospek permintaan dalam sektor huluan dan hiliran bagi membantu industri merangka dan mengurus sumber dan keputusan pelaburannya dengan lebih baik.
Dalam laporan tersebut, Petronas berkongsi aspirasi dan peluang-peluang dalam bidang utama bagi peserta industri mengambil bahagian dalam aktiviti pentauliahan.
Aktiviti pentauliahan merupakan antara perkara yang banyak dibincangkan dalam kalangan pemain industri berikutan segmen pasaran yang berkembang pesat.
“Pemain tempatan juga perlu mempertimbangkan semula model perniagaan lebih efektif dan cekap untuk menyokong keperluan akan datang,” katanya.
Selain itu, Samsudin berkata, Petronas juga mengiktiraf keperluan bagi mengguna pakai teknologi dan digitalisasi bukan sahaja di tempat kerja tetapi juga dalam budaya dan pemikiran.
“Dalam laporan ini, Petronas turut berkongsi perjalanan Transformasi Digitalnya yang bertujuan untuk menjadi sebuah organisasi yang didorong data secara asasnya mengubah cara ia beroperasi untuk memberikan nilai-nilai baharu.
“Ini akan membolehkan pemain industri, yang juga pelanggan perolehan kumpulan, menjalani proses perancangan perniagaan dan operasi lebih telus dan cekap,” katanya.










