Pertimbangkan orang bujang sebagai pemohon layak menerima BSH - Utusan Malaysia

Pertimbangkan orang bujang sebagai pemohon layak menerima BSH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Dis. – Sebarang pelaksanaan membabitkan bantuan sara hidup harus dilakukan tanpa mengabaikan kepentingan mana-mana golongan berpendapatan rendah (B40).

Justeru, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Yusof Abdul Rahman berpandangan, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk meletakkan orang bujang sebagai pemohon yang layak menerima bayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019.

Kata Yusof, meskipun orang bujang tidak mempunyai tanggungan, mereka tetap termasuk dalam golongan yang perlu dibantu.

“Saya rasa dari segi penapisan, ia adalah bagi individu yang tidak layak, seperti warga asing yang berkahwin dengan rakyat tempatan, tetapi orang yang benar-benar memerlukan walaupun tidak ada tanggungan seperti bujang, perlu diberi tumpuan.

“Sebelum ini, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dikatakan dapat memanfaatkan kira-kira tujuh juta rakyat Malaysia, jadi saya rasa mungkin kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu mengecilkan lagi penerima tersebut, namun apabila kerajaan melakukan demikian menyebabkan ramai khususnya orang bujang tidak dapat menikmati bantuan itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Berdasarkan laman web bsh.hasil.gov.my, golongan bujang yang mempunyai tanggungan antara kategori pemohon yang tidak layak menerima bayaran BSH 2019.

Jelas laman web rasmi itu, tiga golongan tidak layak menerima bantuan tersebut adalah berkahwin dengan pasangan bukan warganegara Malaysia, bujang atau ibu bapa tunggal tiada tanggungan dan bujang yang mempunyai tanggungan.

Sebelum ini, golongan bujang yang mendapat pendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan layak menerima BR1M sebanyak RM450, tetapi kini tiada lagi bantuan tunai untuk mereka.

Menurut Yusof, jika kerajaan serius mahu membantu mengurangkan kos sara hidup golongan bujang, maka mereka perlu mempertimbangkan juga untuk menawarkan BSH kepada golongan tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan kepada kerajaan untuk menambah pelbagai bantuan lain kepada golongan bujang.

“Ketika ini, bantuan sara hidup adalah secara tunai, jadi kerajaan boleh mempertimbangkan pemberian bantuan lain selain BSH seperti meningkatkan peluang perniagaan sebab golongan ini juga terbeban dengan kos sara hidup,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN