Pertimbang pembatalan kerja-kerja selenggara - Utusan Malaysia

Pertimbang pembatalan kerja-kerja selenggara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG 16 Dis. – Persatuan Peniaga-peniaga Kecil Pasar Lambak Bergerak Johor Selatan memohon Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) mempertimbangkan semula keputusan membatalkan kerja-kerja pembersihan tapak penjaja yang sebelum ini diuruskan mereka.

Pengerusinya, Datuk Yow Boon Choon berkata, ini berikutan keputusan yang dibuat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menerusi satu notis pada 28 November lalu dilakukan tanpa sebarang perundingan dengan mereka sebelumnya.

“Notis yang kami terima tempoh hari, menyatakan pembatalan ini akan terus berkuat kuasa mulai tahun depan. Sebelum ini, kami ada menghantar surat kepada MBIP untuk berbincang.

“Bagaimanapun, menerusi perbincangan yang dilakukan, kami hanya dimaklumkan keputusan berhubung perkara ini akan diputuskan semula selepas sesi dialog antara penjaja pada 12 Disember ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Boon Choon berkata, berikutan jawapan diberikan itu, timbul perasaan kurang senang dalam kalangan penjaja yang berpendapat perkara itu tidak menerima jawapan memuaskan.

“Kami menyeru kepada Datuk Bandar Iskandar Puteri supaya mempertimbangkan ra­yuan pihak kami kerana melalui perjumpaan lepas, kami dimaklumkan kesalahan kami ialah kerana tidak menggunakan kontraktor SWM Enviroment yang dilantik majlis sendiri.

“Sebenarnya sebelum kami melantik kontraktor sekarang, kami memang menggunakan servis anak syarikat SWM iaitu UER Resource atau sebelum ini dikenali SWM Management,” katanya.

Katanya, perkhidmatan UER Resource ditamatkan kerana menerima arahan konsesi, SWCorp yang mendakwa persa­tuan tidak boleh menggunakan perkhidmatan SWM.

“Persatuan membuat surat rayuan kepada MBIP mengenai perkara ini tetapi belum mendapat sebarang maklum balas sehingga kami mendapat notis pembatalan kerja-kerja penyelenggaraan ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN