KOTA BHARU 10 Dis. – Pertikaian mengenai pengurusan sekolah agama, Maahad Darul Anuar (Mada), Pulau Melaka yang diasakan oleh bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memasuki fasa baharu.
Hari ini, pakatan Keluarga Nikmatillah (keluarga Nik Abdul Aziz) membuka kaunter pendaftaran pelajar baharu di bawah khemah di hadapan sekolah tersebut dan turut dihadiri oleh adik kepada Nik Abdul Aziz, Nik Mohd Nasim dan salah seorang anak Allahyarham, Nik Adli.
Sesi pendaftaran itu berjalan lancar tanpa ada sebarang kekecohan walaupun Lembaga Pengelola Mada (LPM) yang dipengerusikan anak lelaki sulung Nik Abdul Aziz, Nik Omar tidak mengiktiraf pengambil pelajaran baharu yang dibuat oleh Keluarga Nikmatillah itu.
Bagaimanapun tiada sebarang kekecohan berlaku dan pengurusan Mada yang ada pada hari ini hanya memerhatikan proses pendaftaran itu berlangsung.
Sementara itu, Nik Mohd. Nasmi yang mewakili keluarga tersebut berkata, kaunter pendaftaran tersebut dibuka oleh pihaknya bermula hari ini sehingga 30 Disember ii adalah inisiatif mereka untuk membantu YIK dan sehingga kini, 30 pelajar telah menghantar borang.
Katanya, pengambilalihan sekolah tersebut tidak memerlukan pengiktirafan Lembaga Pengelola Mada kerana telah diputuskan oleh YIK kerana kawasan itu merupakan tanah wakaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) yang diserahkan kepada yayan tersebut untuk diuruskan.
“YIK sendiri tidak buat apa-apa lagi, cuma kita mengambil inisiatif sendiri untuk membantu pengambilan pelajar, kita cuma edar borang dan terima borang pendaftaran yang kemudiannya akan diserahkan kepada YIK untuk putuskan.
“Kita rasa boleh beri sumbangan tenaga dan masa kepada YIK maklumlah sekarang cuti sekolah dan pelantikan guru memerlukan sedikit masa, akan selesai tidak lama lagi. Kita yakin jumlah pelajar akan meningkat semula seperti tahun 2000 iaitu lebih 1,000 orang,” katanya ketika ditemui pemberita di Mada di sini hari ini.
Pertikaian mengenai pengurusan sekolah tersebut bermula apabila keluarga tersebut telah memohon kepada YIK supaya mengambil alih Mada kerana mendakwa pengurusan sekolah itu tidak cekap sehingga jumlah pelajar merosot.
YIK dikatakan telah meluluskan permohonan Keluarga Nikmatillah pada Disember 2016 bermula pengambilalihan pengurusan bermula sesi persekolahan Januari 2019 bagaimanapun keputusan itu tidak diterima dan dinafikan oleh Nik Omar yang juga bekas calon PKR untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor.
Dalam pada itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Mada, Mejar (Bersara) Zaidi Abdul Halim berkata, lembaga pengelola sekolah itu tidak mengiktiraf pendaftaran serta pengambil alihan pengursan tersebut dan akan meneruskan operasi seperti biasa.
“Kita hanya menerima pelajar yang membuat pendaftaran secara terus dengan Mada sama ada mereka datang ke pejabat atau melalui online, pengambilan pelajar kita secara berterusan sepanjang tahun dan pelajar serta guru-guru akan memulakan persekolahan seperti pada 1 Januari ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










