Pernah dengar enekmen negeri? - Tunku Ismail - Utusan Malaysia

Pernah dengar enekmen negeri? – Tunku Ismail

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Dis. – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempersoalkan tindakan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar yang campur tangan dalam isu Pulau Kukup di Pontian, Johor.

Menerusi status terbaharu dalam akaun Twitter miliknya hari ini, putera sulung Sultan Johor itu turut menzahirkan perasaan tidak puas hati dengan tindakan Kabinet yang seolah-olah mengganggu Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

“Pernah mendengar mengenai enakmen negeri? Mana ada surat atau menteri yang boleh masuk campur Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

“Tanah, agama dan air adalah kuasa di peringkat negeri. Kenyataan akhbar ini adalah jenaka. Terima kasih,” titah baginda merujuk kepada kenyataan Xavier yang mahu status Pulau Kukup dikekalkan semalam.

Terdahulu, Xavier dalam kenyataannya berkata, Kabinet yang bermesyuarat semalam berpandangan status Pulau Kukup di Johor perlu dikekalkan  bagi memastikan kawasan tersebut terus kekal sebagai pulau paya bakau tidak berpenghuni kedua terbesar di dunia dan satu-satunya di perairan Johor.

Bagaimanapun, Tunku Ismail sebelum itu bertitah, Pulau Kukup akan diubah status menjadi tanah kesultanan bagi memastikan kawasan itu lebih terjaga dan dilindungi selepas statusnya diubah.

Sebelum ini, satu salinan Warta Kerajaan Johor berhubung pembatalan perizaban Pulau Kukup sebagai Taman Negara bertarikh 24 September lalu mula tersebar dalam laman sosial dan mendapat perhatian ramai pihak.

Menurut Warta Kerajaan Johor itu, pembatalan keseluruhan kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan Taman Negara Pulau Kukup berdasarkan kuasa diberi mengikut Subseksyen 3 (3) Enakmen Perbadanan Taman Negara Johor (1989). -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN