Perlawanan amal untuk Salahuddin imbau zaman kegemilangan - Utusan Malaysia

Perlawanan amal untuk Salahuddin imbau zaman kegemilangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 10 Dis. – Perlawanan bola sepak bagi membantu bekas pemain Skuad Olimpik Barcelona 1992, Salahuddin Che Rose mengimbau nostalgia kegemilangan beliau semasa mewakili negara dan negeri lebih 20 tahun lalu.

Menurut Salahuddin, beliau terharu dengan komitmen pemain lama dan baharu seperti Safiq Rahim, Razman Roslan, Nizaruddin Yusof dan lain-lain yang sanggup menyumbang tenaga membantu beliau.

“Hanya ucapan ribuan terima kasih dapat saya ucapkan kepada pemain-pemain bola sepak daripada Persatuan Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dan Pilihan Golazo yang bermain pada malam ini.

“Saya berharap pihak berkuasa dapat membantu bekas pemain bola sepak yang pernah mewakili negara yang mempunyai masalah seperti saya,” katanya kepada pemberita selepas Perlawanan Amal Bagi Membantu Bekas Pemain Bolasepak Negara Salahuddin Che Rose di Setia Alam di sini malam kelmarin.

Yang turut hadir Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail.

Utusan Malaysia melaporkan, Salahuddin ditemukan bergelandangan di ibu kota apabila datang untuk mendapatkan rawatan sakit jantung di sebuah hospital.

Sehubungan dengan itu pihak PFAM mengambil inisiatif mengadakan perlawanan amal bagi membantu Salahuddin mendapatkan rawatan dengan lebih selesa selain menampung kos kehidupannya.

Mengulas mengenai perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia dan Vietnam pula, Salahuddin berharap barisan pemain negara dapat memberikan komitmen 100 peratus untuk membawa bekalan selesa ke Hanoi untuk perlawanan akhir kedua nanti.

“Saya berharap pemain negara bermain dengan bersungguh-sungguh bagi memastikan Piala AFF Suzuki 2018 dibawa pulang ke negara ini,” katanya.

Sementara itu, Rezal Zambery ketika ditemui di sini berkata, pihaknya akan terus membantu pemain seperti Salahuddin yang sedang diduga dengan masalah kesihatan dan kewangan meruncing. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN