Perkhidmatan pengangkutan awam akan ditambah baik - Utusan Malaysia

Perkhidmatan pengangkutan awam akan ditambah baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan akan mengkaji semula aspek perkhidmatan dan penyediaan sistem pengangkutan awam di seluruh negara bagi mengatasi kelemahan dan melakukan penambahbaikan demi kesejahteraan rakyat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, antara usaha dalam perancangan kementerian ialah memperkenal perkhidmatan bas menghubungkan kawasan bandar dan luar bandar selain menyeragamkan peraturan perkhidmatan e-hailing agar setara dengan perkhidmatan teksi.

“(Usaha-usaha lain termasuk) membangunkan usaha penambahbaikan industri teksi dan e-hailing serta mengkaji semula perkhidmatan bas sedia ada dalam bandar atau pekan di seluruh negara,” katanya pada majlis pelancaran pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di sini hari ini.

Tambah Loke, tindakan juga diambil untuk meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya seperti melalui penguatkuasaan pemasangan dan pemakaian tali pinggang keselamatan bagi semua kerusi penumpang bas ekspres baharu dan bas persiaran.

“Saya juga telah mengumumkan syarat wajib untuk semua bas dilengkapi sistem brake retarder dan pematuhan untuk memasang speed de-limiter dalam bas,” katanya.

Jelas beliau lagi, turut diberi perhatian ialah peruntukan berkaitan kesalahan melanggar peraturan jalan raya agar penalti lebih berat dapat diperkenal sebagai ”deterrence” kepada pesalah tegar. – Bernama

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN