KUALA LUMPUR 9 Dis. – Berbanding gimik untuk memasukkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam Sejarah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye tampil dengan idea lebih bernas yang mencadangkan Kementerian Pendidikan memperkenalkan subjek pendidikan pencegahan rasuah di bawah subjek pendidikan moral.
Menurut Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) itu, cadangan berkenaan adalah selaras dengan kebimbangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap rasuah negara yang berada di tahap membimbangkan ketika ini.
Lam Thye berkata, golongan muda khususnya pelajar sekolah perlu dididik untuk membenci rasuah sebagaimana usaha kerajaan mendidik mereka membenci dadah.
“Pendidikan anti rasuah perlu dimasukkan dalam buku teks untuk subjek pendidikan agama dan moral bermula dengan pelajar tahun lima. Langkah ini dapat membantu melahirkan generasi muda yang membenci serta menolak rasuah dalam semua bentuk.
“Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Apabila mereka meninggalkan sekolah dan universiti untuk masuk ke alam pekerjaan, mereka akan mempunyai kesedaran tidak terlibat dalam rasuah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE










