KULIM 2 Dis. – Perhimpunan yang dirancang diadakan di Kuala Lumpur pada 8 Disember ini bukan sahaja berkisar mengenai bantahan terhadap Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sebaliknya juga untuk memberi mesej kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengenai kegagalan mereka menunaikan janji.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kegagalan kerajaan menunaikan janji yang terkandung di dalam manisfesto mereka seperti menurunkan harga minyak, pendidikan percuma dan menghapuskan tol mengecewakan rakyat yang memberi kepercayaan kepada gabungan itu.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, pihaknya akan menyampaikan mesej rakyat yang menuntut janji berkenaan ketika perhimpunan itu nanti.
“Kita bukan sahaja ingin memberi mesej kepada kerajaan mengenai ICERD dalam perhimpunan nanti sebaliknya turut membawa mesej lain iaitu berkaitan janji.
“Jika bab ICERD mereka kononnya mahu tunaikan janji (tidak mengiktirafnya), mereka juga perlu tunaikan janji yang lebih utama. Janji apa, janji yang menyentuh soal rakyat, kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.
“Dahulu kata kalau PH menang, kos sara hidup turun, minyak turun RM1.50, hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak perlu bayar dan tol dihapuskan. Kalau mereka bohong kita kena sampaikan mesej ini,” katanya ketika berucap dalam program Padang Serai Tolak ICERD di Kampung Ekor Kucing, di sini malam tadi.
Sementara itu, Asyraf Wajdi turut mengingatkan peserta perhimpunan nanti supaya tidak mencetuskan provokasi sebaliknya berkumpul secara aman.










