Percaturan baharu Muna Shahirah - Utusan Malaysia

Percaturan baharu Muna Shahirah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KARIER Muna Shahirah sebagai penyanyi bermula sekitar empat tahun lalu menerusi program Akademi Fantasia 2014. Sama seperti peserta lain, hasrat hati Muna hanyalah satu iaitu mahu mengukir kejayaan dan seterusnya menjadikan industri muzik sebagai platform untuk mencari rezeki.

Impian Muna untuk berjuang sehingga ke peringkat akhir bagaimanapun tidak kesampaian. Muna atau nama sebenarnya, Muna Shahirah Munadi, 24, terpaksa akur dengan ketentuan takdir apabila menjadi peserta ketiga yang tersingkir daripada program pencarian bakat popular itu.

Selepas penyingkirannya, Muna yang pada ketika itu sedang melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah Sarjana Muda Matematik di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang kembali ke kampus untuk menyambung pengajian.

Selepas tiga tahun berlalu, rezeki Muna ternyata masih dalam bidang seni. Sejurus menamatkan pengajian, Muna kembali bergelar penyanyi selepas ditawarkan kontrak bersama syarikat rakaman popular, FMC.

Muna yang ditemui baru-baru ini menjelaskan, dia berasa bersyukur kerana diberi peluang oleh pihak syarikat rakaman untuk meneruskan impiannya sebagai penyanyi dan merakamkan single berjudul Takdir Cinta.

Wanita yang berasal dari Johor itu berharap agar perjalanan seninya dipermudahkan dan lagu nyanyiannya diterima khalayak.

KOSMO!: Apa khabar Muna? Agak lama tidak mendengar cerita daripada anda?

MUNA: Khabar baik. Sebenarnya, saya tidak ke mana-mana. Selepas tersingkir daripada Akademi Fantasia 2014, saya kembali menyambung pengajian di USM. Selepas selesai, baru saya putuskan untuk aktif menyanyi.

Anda kini bernaung di bawah label FMC. Boleh kongsikan bagaimanakah pihak FMC bersetuju untuk menguruskan kerjaya seni anda?

Sebelum ini, saya memang aktif menyanyi di Instagram. Banyak lagu-lagu popular saya nyanyikan kembali dan ada beberapa daripadanya ditularkan. Mungkin disebabkan itu, komposer lagu Takdir Cinta, Ibnu & Gouffran menghubungi saya dan bertanya adakah saya berminat untuk merakamkan lagu mereka.

Jadi, anda terus bersetuju selepas menerima tawaran tersebut?

Benar, saya bersetuju untuk merakamkan demo untuk lagu Takdir Cinta. Selepas demo itu dirakamkan, ia dihantar kepada FMC. Tidak sangka pula FMC menyukai demo tersebut dan menawarkan kontrak selama lima tahun kepada saya.

Bagaimanakah perasaan anda apabila diberikan peluang untuk kembali menyanyi dan merakamkan lagu?

Saya berasa sangat bersyukur. Jika dilihat kembali, Allah telah aturkan perjalanan saya sebaiknya. Mungkin saya tiada rezeki dalam program Akademi Fantasia, tetapi saya masih mempunyai peluang dalam industri hiburan.

Bercakap mengenai industri, bagaimanakah pula dengan persaingan. Adakah anda sedar bahawa anda perlu bersaing dengan ramai artis di luar sana?

Saya sedar tentang realiti itu. Tetapi, saya perlu percaya pada rezeki. Seperti rakan saya, Aman Aziz, dia juga berjuang dalam Akademi Fantasia sama seperti saya. Namun, baru kini namanya dikenali. Bagi saya, seseorang penyanyi perlu percaya pada rezeki. Jika disertakan dengan usaha, insya-Allah, semuanya akan datang dengan sendiri.

Adakah anda berasa kerjaya dalam bidang seni sudah stabil?

Alhamdulillah, hasil kerjaya dalam bidang nyanyian saya mampu untuk menyara keluarga. Dalam masa yang sama, saya juga membantu ibu dan ayah untuk mengusahakan syarikat pengurusan majlis di Johor.

Adakah anda mempunyai perancangan untuk melancarkan single seterusnya?

Single kedua saya berjudul Teguh Setia baru sahaja dilancarkan di semua platform digital. Saya berharap agar lagu ini dapat diterima dengan baik oleh khalayak. Berbanding Takdir Cinta, saya rasakan lagu ini lebih dekat dengan jiwa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×