KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menegaskan bahawa perbezaan antara kaum perlu dirai dan bukan dijadikan faktor yang menjarakkan jurang antara rakyat negara ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, perbezaan itulah yang menjadikan Malaysia ini unik, lebih indah dan berwarna-warni.
“Sebenarnya banyak ruang persamaan dan kerjasama yang boleh kita fikir dan laksana daripada hanya disibukkan dengan perbezaan antara kita,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Krismas dan Tahun Baharu Parlimen Pandan di sini malam ini.
Katanya, sepertimana majlis malam ini yang dihadiri pelbagai kaum dan agama, merupakan manifestasi suasana harmoni yang perlu terus dipelihara, dihargai dan dihayati oleh semua generasi bangsa Malaysia.
“Walaupun kita berbeza budaya, adat, kepercayaan, agama, pandangan dan pelbagai lagi, namun ia tidak seharusnya menjarakkan jurang antara kita,” katanya. – Bernama










