SAUDARA PENGARANG,
PADA masa ini kemasukan ke sekolah sukan menjadi impian anak-anak muda. Namun, pengambilan pelajarnya agak terhad. Justeru, saya mencadangkan ahli-ahli korporat sudi tampil membuka sekolah sukan swasta dengan segala kelengkapan mencukupi serta mempunyai jurulatih-jurulatih profesional tanpa mengabaikan soal akademik supaya mereka juga tidak ketinggalan dalam pelajaran.
Kementerian Pendidikan juga disyorkan bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan untuk menaik taraf setiap aktiviti sukan di sekolah-sekolah dengan mempunyai padang bola sepak yang sempurna, kemudahan kolam renang atau gelanggang badminton serta apa juga sukan yang terpilih.
Selain itu diharapkan sekurang-kurangnya setiap sekolah mempunyai satu atau dua bidang sukan khusus yang berpotensi boleh membantu pelajar-pelajar berminat dan berkecimpung dalam sukan-sukan berkenaan.
Pada saya, peruntukan bajet ratusan juta untuk sukan setiap tahun turut disalurkan bagi menaik taraf segala jenis sukan yang terpilih ke sekolah-sekolah terlebih dahulu.
SYED ABDULLAH
SYED OSMAN
Ampangan, Seremban










