BERMULA dengan niat murni untuk menjaga ibu di rumah selepas pemergian bapa tercinta pada 2011, Noor Arjuna Abdul Ghani mengambil keputusan menceburi dunia perniagaan.
Noor Arjuna merupakan bekas pakar bahagian perkilangan plastik dan acuan di Sapura Holding Bhd., mendapat idea untuk menghasilkan Pensugi ketika menjalankan ibadah umrah.
Beliau kemudiannya menubuhkan Muhibbah Sinergia Resources (MSR) pada 2013 yang sehingga kini telah menyertai Program Sirim-Fraunhofer untuk memaksimumkan pengeluaran di kilang di Pulau Pinang.
“Saya ambil Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) pertama pada 1998 dan selepas itu saya bekerja sendiri, membekalkan barangan kepada Proton, Perodua dan juga Telekom Malaysia.
“Selepas arwah bapa meninggal, saya mula jaga emak di rumah pada 2012. Ketika itu ada duit lebih sikit, jadi saya ambil keputusan untuk pergi menunaikan ibadah umrah.
“Saya perhatikan bangsa Arab ini mereka tidak boleh tinggal siwak. Ia jadi tabiat. Tapi bila saya cuba, agak susah sebab dalam bentuk kayu, tak lurus dan ada yang keras,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Berbekalkan ilham berkenaan, Noor Arjuna nekad menjalankan penyelidikan setelah pulang ke Malaysia untuk menghasilkan produk Pensugi yang mengambil masa sekitar tiga tahun.
“Semua bahan untuk menghasilkan produk ini adalah daripada Malaysia sendiri, hanya kayu pokok arak yang sudah diproses secara profesional kita import dari Karachi, Pakistan.
“Saya berbelanja lebih RM30,000 untuk membuat prototaip yang sememangnya memakan kos yang sangat tinggi. Kita cuba pelbagai bahan untuk memastikan pen itu tidak pecah,” katanya.
Beliau bagaimanapun boleh menarik nafas lega apabila lebih 50,000 Pensugi berjaya dijual termasuk di Singapura, Brunei, Indonesia, Arab Saudi dan Turki buat ketika ini.
“Sekarang ini, kami sedang memproses tempahan sebanyak 40,000 Pensugi untuk pasaran Arab Saudi. Bagi prospek tahun depan, mungkin di United Kingdom dan Turki,” katanya.
Pensugi sehingga kini telah mendapat pelbagai pengiktirafan di peringkat tempatan mahupun antarabangsa termasuk pernah memenangi Anugerah Inovasi Negara (AIN) pada 2017.
Menurut Noor Arjuna, cabaran paling utamanya adalah dari segi penerimaan kerana tidak mudah untuk mengubah gaya hidup orang ramai, selain Sunnah juga tidak semuanya boleh ikut.
“Selain itu, kita juga berdepan masalah seperti kos yang tinggi. Saya buat pinjaman peribadi daripada bank masa mula-mula dulu. Ada juga kawan-kawan yang bagi pinjam,” katanya.
Pensugi sebenarnya merupakan produk kedua milik Noor Arjuna selepas produk pertamanya iaitu tabung derma plastik untuk kegunaan masjid terutama ketika solat jumaat.
“Produk pertama saya adalah tabung berbentuk masjid, saya pernah dapat tawaran daripada Bank Islam untuk membeli 3,000 tabung. Tabung ini hingga sekarang masih berjalan,” katanya.
Muhibbah Sinergia Resources (MSR)
l Ditubuhkan pada 2013
l Sebuah syarikat di bawah Program Sirim-Fraunhofer
l Dapat ilham Pensugi ketika tunai umrah
l Berbelanja lebih RM30,000 untuk hasil prototaip
l Kini lebih 50,000 Pensugi berjaya dijual










