Pengurus syarikat dijel tujuh hari, denda RM30,000 - Utusan Malaysia

Pengurus syarikat dijel tujuh hari, denda RM30,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Gara-gara menyogok wang RM5,100 kepada penolong pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKHEP) Julai lalu, seorang pengurus syarikat dijel tujuh hari dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Kamarudin Kamsun turut memerintahkan, Toh Jenn Shyang, 38, menjalani penjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut setelah dia mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Mengikut kertas pertuduhan, Jenn Shyang didakwa secara rasuah memberi satu suapan iaitu wang tunai RM5,100 kepada penolong penguatkuasa KPDNKHEP Putrajaya, Shahrul Nizam Abu Samah.

Perbuatan itu dilakukan lelaki berkenaan sebagai dorongan supaya tidak diambil tindakan ke atas syarikatnya kerana menyimpan barang kawalan berjadual iaitu baja tanpa lesen.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di dalam gudang beralamat Lot 14477, Kampung Kebun Sayur, Bakri, Muar dekat sini pada pukul 10.20 pagi, 6 Julai lalu.

Jenn Shyang dituduh mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohamad Anis Redza Mohamad Anuar manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×