ALOR SETAR 11 Dis. – Seorang penguat kuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) cedera di bahagian tangan akibat diserang seorang lelaki yang disyaki ulat parkir di hadapan sebuah kedai 24 jam, Jalan Putra, di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa berusia 20-an bersama-sama seorang rakan setugasnya sedang melakukan rondaan bermotosikal ketika menyertai operasi membanteras ulat parkir.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd. Rozi Jidin berkata, ketika kejadian, mangsa mengusir dua lelaki yang sedang membuat kutipan meletak kenderaan secara haram di kawasan tersebut.
“Secara tiba-tiba, suspek telah melibas rantai besi lalu terkena pada tangan mangsa, manakala seorang lagi suspek mengeluarkan pisau dan mengacukan ke arah mereka.
“Ekoran kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian lengan kiri sementara rakannya tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambah Mohd. Rozi, polis yang menerima laporan bergegas mengesan suspek sebelum berjaya menahan kedua-duanya tidak lama kemudian di sekitar daerah ini.
“Kedua-dua lelaki warga tempatan berusia 30-an dan 50-an itu tiada rekod lampau tetapi mereka positif ujian air kencing dan kini direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.
“Polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan semasa kejadian terbabit,” katanya yang turut memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE









