Penganggur ditahan curi 14 kenderaan mainan - Utusan Malaysia

Penganggur ditahan curi 14 kenderaan mainan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU – Seorang lelaki berusia 33 tahun ditahan polis selepas didapati mencuri 14 buah model kenderaan mainan dari sebuah pasar raya di dalam pusat beli-belah Queensbay Mall, Bayan Lepas di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A.A. Anbalagan berkata, kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu disedari selepas suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan di bahagian mainan pasar raya itu.

“Pengawal keselamatan melihat lelaki tersebut memasukkan barang ke dalam beg yang digalasnya dan telah mengekori suspek sehingga ke sebuah kafe sebelum dia ditahan.

“Pekerja dari bahagian mainan kemudiannya memeriksa beg itu dan mendapati terdapat sebanyak 14 kotak kenderaan mainan bernilai RM378.50 yang tidak di buat pembayaran,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Menurut Anbalagan, suspek kemudiannya diserahkan kepada pihak polis bagi siasatan lanjut.

“Suspek didapati mempunyai empat rekod kesalahan lalu dan satu rekod dikehendaki berkaitan kes dadah.

“Dia yang tidak bekerja itu dipercayai bertindak demikian untuk membeli bekalan dadah,” katanya lagi.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×