Peng Soon, Liu Ying tinggalkan BAM - Utusan Malaysia

Peng Soon, Liu Ying tinggalkan BAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Dis. – Demi merealisasikan misi layak ke Sukan Olimpik 2020, beregu campuran No. 1 negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mengambil keputusan paling drastik meninggalkan skuad kebangsaan untuk bergerak secara bebas.

Difahamkan, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu menghantar surat untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada hujung November lalu dan akan bergerak secara profesional bermula 1 Januari 2019.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya percaya keputusan itu dibuat kerana gandingan utama negara itu sedang mencari jalan terbaik untuk mereka menghidupkan peluang ke temasya sukan terbesar dunia di Tokyo.

“Keputusan ini kami lihat sama seperti Iskandar (Zulkarnain Zainuddin).

“Mungkin mereka akan bergerak secara profesional untuk ke Sukan Olimpik dan atas dasar itu kami menerima keputusan mereka untuk meninggalkan BAM.

“Peng Soon-Liu Ying ada pengalaman dan saya percaya mereka mampu mencapai impian beraksi di Tokyo,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Keputusan mengejut itu diumumkan sejurus selepas pasangan tersebut gagal melepasi peringkat kumpulan dalam Jelajah Dunia Akhir di Guangzhou.

Pemergian Peng Soon-Liu Ying menyaksikan skuad kebangsaan kini hanya memiliki dua pasangan yang berada dalam kelompok 30 terbaik dunia iaitu Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Peng Soon, 30, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu tetapi enggan mengulas lanjut.

“Saya sedih…Ini keputusan yang sukar,” katanya.

Pelbagai kejuaraan pernah diraih Peng Soon-Liu Ying semasa bersama skuad kebangsaan termasuk Kejohanan Asia 2010, Sukan Komanwel 2010 dan 2014 serta dua kejuaraan tahun ini di Terbuka Amerika Syarikat dan Thailand Masters.

Sementara itu, Liu Ying, 29, berkata, dia akan me­ngadakan sidang akhbar khas sebaik sahaja kembali ke tanah air untuk menjelaskan mengenai keputusannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN