GUA MUSANG 13 Dis. – Lebih 300 penduduk di kawasan rendah di Limau Kasturi, di sini, bersiap sedia untuk berpindah berikutan air Sungai Galas di kawasan itu kini berada di paras berjaga-jaga hari ini.
Air Sungai Galas yang semakin naik itu turut menenggelamkan sebuah jambatan Sungai Kerak yang menghubungkan jalan utama ke kampung itu.
Seorang penduduk, Mohd. Sokani Mat, 58, berkata, keadaan air sungai itu naik berikutan hujan lebat yang berterusan sejak petang semalam.
Katanya, semua penduduk yang berada di kawasan mudah dinaiki air sudah bersiap sedia untuk berpindah ke kawasan selamat.
“Kawasan rendah di tepi Sungai Galas kerap kali tenggelam apabila hujan lebat dan penduduk sudah menyediakan bot masing-masing.
“Rumah kami memang kerap tenggelam terutama apabila hujan musim tengkujuh seperti sekarang ini kerana air sungai cepat naik,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Che Rogayah Ismail, 61, pula berkata, dia kini sudah mengemas barang dan menunggu masa untuk berpindah jika paras air sungai terus naik.
Katanya, dia mengambil iktibar daripada beberapa kejadian banjir musim tengkujuh sebelum ini sehingga keluarganya menanggung kerugian besar kerana kerosakan barang.
“Boleh dikatakan setiap kali berlaku banjir musim tengkujuh akhir tahun rumah kami tenggelam dan banyak barangan musnah,” katanya. – UTUSAN ONLINE











