LONDON 1 Dis. – Seorang pelajar sebuah universiti dekat Birmingham yang kehilangan komputer riba menerima permohonan maaf daripada si pencuri dan mewajarkan jenayah tersebut menerusi e-mel.
Oddity Central melaporkan, pencuri menerusi e-mel tersebut memaklumkan dia terpaksa mencuri komputer riba berkenaan kerana hidup miskin dan memerlukan duit.
E-mel tersebut tular dalam media sosial selepas rakan kepada pelajar tersebut, Stevie Valentine berkongsi gambar e-mel itu di Internet.
Gambar tersebut disertakan dengan kapsyen bertulis, komputer riba rakan sebilik saya telah dicuri dan lihat apa yang dihantar oleh pencuri itu.
Dalam e-mel tersebut, pencuri itu menyatakan hidupnya terlalu miskin dan amat memerlukan wang.
Katanya, dia juga boleh mengambil dompet serta telefon pelajar berkenaan, namun membuat keputusan untuk tidak melakukannya.
“Saya tidak ambil telefon dan dompet anda, saya harap anda tidak terlalu sedih atas kehilangan ini,” tulis pencuri tersebut.
Dalam pada itu, pencuri juga menawarkan untuk menghantar semua fail yang terdapat dalam komputer riba berkenaan kepada tuannya.
“Saya tahu anda merupakan pelajar universiti dan jika ada fail atau tugasan yang anda perlukan, sila beritahu saya dan saya akan hantarnya kepada anda menerusi e-mel.
“Sekali lagi, saya minta maaf atas apa yang berlaku,” tulisnya.
Gambar e-mel tersebut menerima ribuan reaksi daripada pengguna Internet sehingga ada yang bersimpati dengan nasib pencuri itu yang miskin dan terdesak untuk mendapatkan duit.
Malah, ada juga yang memuji sikap pencuri tersebut yang berterus-terang. – AGENSI










