DUDLEY, Britain – Kakitangan Zoo Dudley dikritik teruk oleh pencinta haiwan dalam media sosial kerana memilih untuk menembak mati seekor harimau bintang salji yang terlepas dan bukannya menggunakan ubat pelali.
Siasatan dalaman mendapati haiwan terancam berusia lapan tahun yang dikenali sebagai Margaash itu keluar dari kurungannya disebabkan kecuaian seorang kakitangan zoo meninggalkan pintunya terbuka.

Pengurusan zoo tersebut mendakwa mereka tiada pilihan lain dan terpaksa menembak mati haiwan tersebut bagi menjamin keselamatan orang ramai.
Harimau bintang salji itu didakwa terlepas ketika waktu operasi Zoo Dudley sudah tamat dan semua pengunjung sudah meninggalkan kawasan di mana haiwan tersebut ditembak mati.
Margaash dilahirkan di Zoo Banham, Norfolk pada 2010 dan dipindahkan ke Zoo Dudley pada 2011. Hanya 4,000 ekor harimau bintang salji masih hidup di 12 buah negara di seluruh dunia. – Agensi










