Isu mengenai pemotongan pemutuan padi yang tinggi bukan sesuatu yang baharu dalam industri padi beras tempatan.
Malah, sekian lama ia telah menjadi keluhan golongan petani yang berasa seakan ditindas melalui pemotongan hasil tuaian padi sehingga menyebabkan mereka menanggung kerugian.
Namun, Pengurus Kanan Pengurusan Kualiti Padiberas Nasional Bhd. (Bernas), Othman Salim menjelaskan, pemutuan padi beras yang dilakukan oleh pihaknya selama ini hanya mengikut standard yang ditetapkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Katanya, Bernas sentiasa mematuhi setiap garis panduan Pemutuan Sebenar dan mekanisma harga belian padi ketika melakukan analisis padi dan pemotongan pemutuan padi di 28 Kilang Beras Bernas (KBB) di seluruh Malaysia.
“Bila nak jual padi kena ada beberapa syarat iaitu padi haruslah kering dan kandungan kelembapan tidak melebihi 14 peratus.
“Selain itu, padi harus bersih tanpa sebarang kekotoran, masak, tidak rosak dan bukannya padi muda atau padi hijau,” ujarnya.
Tambahnya, isu berbangkit apabila petani menganggap kekotoran yang terkandung dalam beras yang dihantar itu adalah pendapatan mereka.
Pada hal katanya, bendasing yang terkandung dalam beras seperti tangkai padi, hampas dan jerami tidak mempunyai sebarang nilai dan harus diasingkan sebelum penentuan hasil padi dilakukan.
“Secara amnya, dalam 100 kilogram (kg) padi yang dianalisis, hanya 50 kg sahaja hasil yang kita dapat iaitu benar-benar beras yang boleh digunakan dan dijual kepada pengguna. Amat ditekankan kadar pemotongan pemutuan padi sangat bergantung kepada kualiti padi yang diterima di pintu kilang.
“Perlu diketahui bahawa kualiti atau mutu hasil padi yang dijual oleh petani berbeza-beza.Ini adalah kerana kualiti atau mutu dipengaruhi pelbagai faktor persekitaran seperti cuaca, tanah, penyakit, serangga, mesin tuaian, faktor penjagaan dan sebagainya,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut kata Othman, pemutuan sebenar yang dijalankan oleh pihaknya adalah bertujuan menjaga kualiti beras agar sentiasa bermutu tinggi untuk dijual kepada pengguna.
Ia dilakukan dengan teliti menggunakan alatan yang mengikut prosedur operasi standard (SOP) untuk memastikan pemutuan dilakukan secara adil dan tanpa prejudis.
“Kita sentiasa mahukan beras yang berkualiti tinggi daripada petani supaya kita boleh gredkan ia dalam senarai Super Spesial Tempatan agar setaraf dengan beras import.
“Kita juga mahu memberikan penawaran beras yang bermutu tinggi kepada pengguna supaya ia boleh membantu mereka mendapat khasiat yang baik daripada pengambilan nasi seharian,” katanya.











