ALOR SETAR 14 Dis. – Selepas Pemuda UMNO Sabah mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan semalam, kini Pemuda UMNO Alor Setar pula turut senada demi survival parti.
Ketua Pemuda UMNO Alor Setar, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, beliau berharap Ahmad Zahid berjiwa besar mengorbankan jawatannya itu agar hala tuju parti menjadi lebih jelas dan berfokus.
Beliau menegaskan, pihaknya membawa harapan daripada suara akar umbi yang kini diakui semakin gelisah dengan krisis yang sedang melanda parti keramat orang Melayu itu.
“Akar umbi juga tertanya-tanya tentang ‘cerita-cerita’ yang UMNO mahu menjadi kerajaan dengan membentuk ikatan bersama Pakatan Harapan.
“Suara-suara ahli jelas terkilan dengan cerita berkenaan. Apa yang pasti, mereka menolak sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan, yang secara tidak langsung bahawa UMNO mengiktiraf DAP,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, Pemuda UMNO Sabah mendesak Ahmad Zahid meletakkan jawatan dalam UMNO serta-merta berikutan ketidaktentuan Presiden parti dalam menentukan hala tuju UMNO sehingga menyebabkan ramai pemimpin dan ahli bertindak meninggalkan parti tersebut.
Tambah Syed Mohd. Johan, Ahmad Zahid tidak menunjukkan sikap kepimpinan yang tegas dan berkarisma seterusnya gagal menunjukkan hala tuju parti yang jelas menyebabkan ahli-ahli Parlimen dan sebahagian kepimpinan bahagian membawa haluan masing masing.
Katanya, sikap itu berlaku sejak daripada Ahmad Zahid memangku jawatan Presiden sehinggalah dilantik ke jawatan tersebut.
“Sikap diam Ahmad Zahid meresahkan kami di akar umbi. Ini menyukarkan kami menyampaikan mesej kepada akar umbi tambahan pula secara diam-diam ada komplot merebut kuasa secara jalan pintas sekali gus satu pengkhianatan pada keputusan rakyat,” katanya.
Syed Mohd. Johan seterusnya merayu agar Ahmad Zahid melihat senario yang lebih besar iaitu demi kepentingan parti dan rakyat berbanding individu.
“Parti perlu diselamatkan dengan langkah yang berani dan tegas, bukannya bersembunyi di belakang parti seperti perisai untuk kes peribadinya,” katanya. – UTUSAN ONLINE











