KUALA LUMPUR 11 Dis. – Kalangan pemimpin UMNO menzahirkan sokongan terhadap Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid bagi membawa hala tuju parti itu kembali berkuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Kenyataan itu dibuat memandangkan UMNO berhadapan pelbagai dugaan dan ujian daripada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) termasuk membekukan akaun bank parti sehingga menyukarkan mengadakan pelbagai program di peringkat akar umbi.

Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Ahmad Maslan berkata, sesiapa sahaja yang menjadi Presiden UMNO pasti akan menerima tekanan sebegini.
“Politik dendam dan pendakwaan berpilih dilakukan. Kezaliman kepada pembangkang. Ahli UMNO perlu bersama-sama dengan kepemimpinan sedia ada demi menunjukkan kesatuan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Ahmad, ahli juga perlu bersedia dengan tindakan kerajaan yang telah membekukan akaun UMNO.

Seorang lagi ahli MT, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, UMNO masih kuat di bawah kepemimpinan Ahmad Zahid bahkan sehingga ke akar umbi sekali pun Presiden UMNO itu tetap menjadi pilihan semua kerana beliau dipilih pada pemilihan parti yang lalu.
Baginya setiap pemimpin yang dipilih oleh ahli perlu menerima dukungan padu dan menolak campur tangan orang luar atau pengkhianat yang mahu melakukan adu-domba.
“Saya berpendapat kepemimpinan kali ini dapat memberi satu nafas baharu terhadap UMNO selepas pertemuan MT dengan pemimpin serta ahli di setiap negeri baru-baru ini,” katanya.
Ketua Bahagian UMNO Ipoh Timur, Datuk Azian Osman meminta semua ahli UMNO terus berjuang dan beristiqomah bersama kepemimpinan Ahmad Zahid dalam perjuangan memenangi semula keyakinan rakyat.
“Saya berharap tekanan diberikan ini tidak mematahkan semangat Presiden serta ahli-ahli parti”, katanya yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Perak.









