KUALA LUMPUR 14 Dis. – Nampaknya desakan supaya Presiden UMNO, DatuK Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan semakin kuat.
Desakan tersebut turut disuarakan oleh bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menerusi satu hantaran dalam akaun Twitter beliau hari ini.

“Bersetuju. Pemilihan parti segera,” tegas Khairy.
Hantaran Khairy itu sebagai mengulang hantaran pemilik akaun @SyedRifqi99 yang berpandangan Pergerakan Pemuda, Puteri, Wanita serta Majlis Tertinggi UMNO mesti mendesak peletakan jawatan Ahmad Zahid.
Selain itu, @SyedRifqi99 turut berpendapat UMNO perlu mengadakan perhimpunan agung luar biasa dan mengadakan pemilihan parti untuk memilih kepemimpinan baharu.
“Hanya ahli-ahli UMNO boleh menyelamatkan UMNO. Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) atau Pas tidak dapat membantu,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










