Pembantu tadbir maut motosikal langgar kerbau - Utusan Malaysia

Pembantu tadbir maut motosikal langgar kerbau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN 29 Dis – Seorang pembantu tadbir sekolah maut apabila motosikal ditungganginya melanggar seekor kerbau sedang melintas di Jalan Chukai-Mak Lagam berhampiran Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) di sini tengah malam tadi.

MOHD. JAFRI MOHD. KASSIM
MOHD. JAFRI MOHD. KASSIM 

Mohd. Jafri Mohd. Kassim, 34, yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kuang dekat sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis daerah, Superintendan Mohd. Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan beliau memberitahu, kemalangan itu berlaku pukul 12.15 tengah malam.

Beliau berkata, nahas berlaku sewaktu mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dalam perjalanan dari kediamannya di Kuarters Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mak Lagam dekat sini menuju ke Bandar Chukai.

Menurutnya, setiba di tempat kejadian, seekor kerbau dipercayai seberat melebihi 100 kilogram secara tiba-tiba muncul dari arah hutan lalu melintas jalan menyebabkan mangsa gagal mengawal kenderaannya.

“Akibat pertembungan itu mangsa tercampak beberapa meter ke atas jalan raya dan kejadian itu disedari pengguna jalan raya yang melalui jalan tersebut.

“Pasukan perubatan yang tiba sejurus menerima panggilan daripada pengguna jalan raya telah mengesahkan mangsa telah meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya,” katanya.

Menurut Mohd. Said , kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN