Pemandu treler sayur maut, kelindan cedera - Utusan Malaysia

Pemandu treler sayur maut, kelindan cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 5 Dis. – Seorang pemandu treler maut manakala kelindannya cedera dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 282.5 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, mangsa, B. Thinagaran, 39, yang dalam perjalanan menghantar sayur dari Cameron Highlands, Pahang ke Singapura disahkan maut di lokasi kejadian.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Mohd. Syazwan Saidy berkata, treler dipandu mangsa bertembung dengan sebuah lori tiga tan membawa barangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Kelindan treler itu, A.Vadirelan, 37, patah kaki kanan serta mengalami kecederaan di bahagian kepala. 

“Pemandu lori, Zulkhairi Shabil yang membawa muatan JKDM dari Shah Alam ke Senai di Johor tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Syazwan berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila treler membawa muatan sayur tersebut melanggar belakang lori sewaktu tiba di lokasi kejadian.

Ujarnya, perlanggaran itu menyebabkan lori tersebut diheret sejauh 600 meter dari lokasi kemalangan, manakala pemandu dan kelindan treler tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang.

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar di sini untuk rawatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN