TAPAH – Seorang pemandu lori maut apabila kenderaan berat yang dipandunya hilang kawalan sebelum merempuh belakang sebuah lori lain di Kilometer 316.5 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara awal pagi tadi.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 4.30 pagi itu, mangsa, Abd. Halim Rashid, 47, yang berasal dari Kuala Lumpur itu tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku sewaktu mangsa yang memandu lori muatan barangan komputer itu dalam perjalanan dari arah selatan menuju ke utara tanah air.
“Tiba di tempat kejadian, lori yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar belakang sebuah lori membawa muatan kotak yang berada di hadapannya.
“Akibatnya, mangsa tersepit di tempat pemandu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Tambah Wan Azharuddin, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk proses bedah siasat.
“Seorang lagi pemandu lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, sebuah bas ekspres musnah terbakar di lorong kecemasan di Kilometer 353.1 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, pada pukul 4.01 pagi tadi.
Azharuddin berkata, siasatan awal mendapati kebakaran itu dipercayai berlaku apabila brek tayar belakang bas tersebut terlekat dan terbakar.
“Seramai 18 penumpang termasuk dua kanak-kanak yang menaiki bas dari Terminal Bersepadu Selatan menuju ke Butterworth, Pulau Pinang itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.










