MERSING 24 Dis. – Seorang pemancing berusia 38 tahun dikhuatiri lemas ketika cuba berenang kembali ke pantai dari lokasi memancing di atas Batu Sirik berdekatan pantai Kampung Seri Pantai, di sini kira-kira pada pukul 10 malam tadi.
Komander Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Mersing, Haris Fadzillah Abdullah berkata, mangsa keluar memancing pada pukul 7.30 malam ketika air surut.
“Mangsa berenang ke lokasi memancing bersama seorang rakan ketika air surut sebelum bertindak berenang semula ke arah pantai ketika air pasang.
“Ketika berenang pulang, mangsa gagal sampai ke daratan dan didapati hilang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.
Tambah Haris Fadzillah, sehubungan itu pihaknya telah menggerakkan sepasukan anggota untuk menjalankan misi mencari dan menyelamat. – UTUSAN ONLINE










