ALOR SETAR 31 Dis. – Pelantikan semula Rafizi Ramli sebagai Naib Presiden PKR dalam barisan kepemimpinan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang baharu disifatkan wajar berdasarkan sumbangan besarnya terhadap parti selama ini.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri, Datuk Johari Abdul berkata, Rafizi banyak terlibat di dalam parti termasuk menghabiskan banyak tenaga, masa dan wang ringgit semasa berkempen dalam pilihan raya baru-baru ini meskipun beliau bukan sebagai calon.
Katanya, Rafizi juga merupakan antara watak utama kejayaan Pakatan Harapan menumpaskan Barisan Nasional (BN) seterusnya membentuk kerajaan selepas 61 tahun menerusi kajian invokenya yang ternyata memberi kesan.
“Dia (Rafizi) juga membongkar banyak skandal BN daripada isu lembu, Tabung Haji, 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) dan pelbagai lagi sehingga mengheretnya sendiri ke mahkamah. Begitu banyak pengorbanan Rafizi di dalam parti.
“Saya rasa ia tidak boleh dipandang sepi oleh presiden dan sememangnya pelantikan itu wajar dengan sumbangannya,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama MPN negeri di sini, hari ini.
Pada 28 Disember lalu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Rafizi dilantik semula sebagai Naib Presiden PKR dalam barisan kepemimpinan MPP yang baharu bagi sesi 2018-2021
Anwar turut mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang dan Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju sebagai Naib Presiden yang masing-masing mewakili Sabah dan Sarawak.
Turut dilantik semula, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sebagai Setiausaha Agung parti.
Bagaimanapun keputusan tersebut dipertikai oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyifatkan pelantikan beberapa jawatan utama kepemimpinan parti seperti yang diumumkan itu sebagai membelakangkan pandangan akar umbi.
Mengulas lanjut, Johari berkata, Azmin mungkin tidak mendapat maklumat yang tepat mengenai pelantikan tersebut kerana berada di luar negara masa itu.
“Presiden ada baca beberapa nama minta supaya majlis pimpinan menyokong atau tidak nama yang dicadangkan itu.
Presiden amat terbuka dalam soal ini dan mahu parti yang kuat demokratik dan inklusif,” katanya.- UTUSAN ONLINE










