Pelajar tingkatan empat, marshal acara maraton parah dilanggar kereta - Utusan Malaysia

Pelajar tingkatan empat, marshal acara maraton parah dilanggar kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 9 Dis. – Seorang pelajar tingkatan empat, Cheah Ting Cong cedera selepas dilanggar sebuah kereta ketika menyertai acara maraton ‘PAAA Annual Round The Island Relay” di Bayan Lepas di sini, awal pagi tadi.

Turut cedera dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu ialah seorang pelari yang juga ‘marshal’ acara terbabit, Lee Foo Beng, 51, yang ketika kejadian menunggang motosikal mengiringi peserta larian terbabit.

Difahamkan, kedua-dua mereka dilanggar sebuah kereta sehingga terpelanting sejurus dilepaskan ketika menyertai acara tersebut.

Kedua-dua mereka merupakan ahli pasukan BM Leopard dan kini masing-masing dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) dan di sebuah hospital swasta di sini.

‘PAAA Annual Round The Island Relay’ merupakan acara tahunan anjuran Penang Amateur Athletic Association (PAAA) membabitkan larian sejauh kira-kira 72 kilometer (km).

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee berkata, pihaknya memandang serius kejadian tersebut dan menjelaskan acara berkenaan tidak mendapat pengiktirafan daripada kerajaan negeri.

Bagaimanapun, kata beliau, kerajaan negeri sudah berhubung dengan PAAA dan bersedia memberi bantuan kepada peserta yang cedera dalam kemalangan tersebut.

“Untuk mengelakkan kejadian sebegini berulang, saya mengingatkan semua persatuan sukan dan pihak penganjur acara sukan sekali lagi yang mana keselamatan peserta perlu sentiasa diutamakan. 

“Segala acara sukan bukan sahaja harus mendapat kelulusan daripada Pesuruhjaya Sukan, malah harus mendapat sokongan atau pengiktirafan daripada kerajaan negeri supaya dapat dipantau dan diberi nasihat dalam penganjuran sesuatu acara sukan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN