Pekerja tempatan tidak terkesan pemansuhan Akta Pampasan Pekerja 1952 - Utusan Malaysia

Pekerja tempatan tidak terkesan pemansuhan Akta Pampasan Pekerja 1952

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM – Pekerja tempatan tidak akan terkesan dengan pemansuhan Akta Pampasan Pekerja 1952, kata Menteri Sumber Manusia, M. Kulas Segaran.

Beliau berkata, timbul salah faham apabila perkara itu diumumkan pihaknya Jumaat lepas sedangkan ia sebenarnya tidak ada kena mengena dengan pekerja tempatan.

“Saya pastikan pekerja tempatan tidak akan menghadapi sebarang kekurangan, sebaliknya akan dapat lebih daripada apa yang akan dilaksanakan ini,” katanya kepada pemberita pada lawatan kerja ke Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) Kulim di sini hari ini.

Beliau berkata, pemansuhan akta itu adalah bagi menjaga kebajikan warga asing yang bekerja di negara ini dari segi perlindungan insurans di samping menunjukkan kerajaan tiada sebarang diskriminasi terhadap mereka.

Katanya, langkah itu juga selaras dengan Konvensyen Kesamaan Rawatan (Pampasan Kemalangan) 1925 (No 19) dan Jawatankuasa Persidangan Penggunaan Piawaian di bawah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). – Bernama
 
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN