ALOR SETAR – Seorang pekerja kontrak yang melarikan diri selepas mencabul seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dalam kejadian pecah rumah di Taman Seraya Indah, Kulim dekat sini Selasa lalu akhirnya berjaya ditahan polis semalam.
Suspek berusia 23 tahun itu ditahan di hadapan rumah mangsa kira-kira pukul 9.45 malam apabila dia dikatakan pergi ke situ untuk berbincang dengan keluarga mangsa mengenai kejadian selepas buntu untuk terus melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, suspek dan seorang lagi rakannya berusia lingkungan 20-an yang masih diburu disyaki terlibat dalam kejadian mencabul anak perempuan bekas majikannya sebelum melarikan sebuah komputer riba, tablet dan topi keledar.
“Kejadian kira-kira pukul 3 pagi Selasa lalu itu berlaku apabila dua lelaki termasuk suspek bertindak masuk ke bilik mangsa sebelum salah seorang daripada mereka memegang kemaluan mangsa dan melarikan barangan tersebut.
“Mangsa yang sedang tidur bersama tiga rakan perempuannya bagaimanapun tersedar dan dapat melihat seorang suspek kerana ketika kejadian lampu bilik terpasang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, mangsa mengenali suspek kerana dia pernah bekerja dengan bapanya sebelum ini sebagai pekerja kontrak.
Tambahnya, siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kes tersebut dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (AKSKK) 2017 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE










