KUALA KANGSAR – Pegawai dan anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar di sini gempar seketika apabila sebuah bilik yang menempatkan pejabat Ketua Polis Daerah terbakar dalam kejadian pagi semalam.
Kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 7.50 pagi itu dipercayai berpunca daripada lintar pintas, namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Mohd. Taufiq Abd. Sattar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 8.17 pagi sebelum sepasukan 15 pegawai dan anggota bergegas ke tempat kejadian.
“Tiba di tempat kejadian, anggota mendapati api sedang marak di dalam bilik tersebut yang berada di tingkat dua bangunan berkenaan.
“Kerja-kerja memadamkan kebakaran segera dijalankan dan api dapat dikawal serta dipadamkan dalam tempoh lima minit kemudian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurut Mohd. Taufiq, tindakan pantas pihaknya berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke bahagian lain bangunan berkenaan serta tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
“Kebakaran hanya melibatkan lima peratus daripada salah sebuah bilik di pejabat Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar yang mempunyai keluasan 18 meter persegi dan hanya fail yang terbakar.
“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 9.21 pagi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
“Punca kebakaran dipercayai berlaku akibat litar pintas dan ia tidak melibatkan kerosakan yang besar.
“Kebakaran berlaku kira-kira pada pukul 7.50 pagi ketika pejabat baru dibuka,” katanya.
Tambahnya, pihak bomba berjaya memadamkan kebakaran tersebut dalam tempoh kira-kira 10 minit dengan penggunaan air yang minimum.
“Siasatan akan dijalankan oleh pihak bomba dan kita juga akan menjalankan siasatan dalaman. Setakat ini, tiada unsur khianat dikesan dalam kejadian tersebut,” jelasnya.











