Pegawai polis terlibat rasuah direman tiga hari - Utusan Malaysia

Pegawai polis terlibat rasuah direman tiga hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah sebanyak RM8,000, kini direman selama tiga hari. 

Perintah tahanan reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 10 Disember depan itu dikeluarkan Majistret Siti Hafiza Jaafar.

Terdahulu, suspek berusia 44 tahun yang memakai baju lokap SPRM jingga itu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini pada pukul 11 pagi sebelum keluar setengah jam kemudian.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi Kosmo! Online mengesahkan penahanan reman tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Difahamkan, suspek telah bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak sejak tujuh tahun lalu.

Pegawai lelaki tersebut ditahan kira-kira pada pukul 5.17 petang semalam.

Suspek ditahan bagi tujuan siasatan berhubung kes penerimaan wang rasuah bagi mendapatkan kelulusan pembaharuan lesen perniagaan barang-barang lusuh yang diusahakan sebuah syarikat di sekitar Teluk Intan.

Dua transaksi wang rasuah berjumlah RM4,000 ke dalam satu akaun bank dan wang tunai RM4,000 berlaku antara Mac hingga Jun lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN