KUALA LUMPUR 19 Dis. – Pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengendalikan kes berprofil tinggi membuat laporan polis kedua berhubung kebakaran rumahnya yang didakwa berpunca daripada perbuatan khianat.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, laporan tersebut dibuat pagi tadi bagi meminta pihak polis melakukan siasatan selepas pegawai yang bertugas di bahagian siasatan SPRM itu mendapati beberapa failnya musnah dalam kebakaran itu.
“Susulan itu, kita telah memanggil pihak forensik bomba sekali lagi bagi membantu siasatan.
“Pihak bomba telah memaklumkan hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati kebakaran tersebut berlaku akibat litar pintas. Bagaimanapun, mereka telah menghantar sampel untuk dianalisis dan proses tersebut dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab. Rashid Ab Wahab mengesahkan pemeriksaan pasukan forensik bomba mendapati tiada wujud sebarang unsur khianat dalam kebakaran rumah teres dua tingkat milik seorang pegawai kanan SPRM itu yang terletak di Taman Setia Tropika, Seri Kembangan dekat sini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, kejadian dipercayai berlaku ketika pegawai kanan berkenaan sedang bertugas di ibu pejabat SPRM manakala anak dan isterinya berada di kampung.
Menurut sumber, kebakaran bermula dari bumbung rumah sehingga menyebabkan hampir 80 peratus bahagian tingkat atas rumah teres itu musnah dan hanya disedari pada pukul 2.35 petang.
Dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Serdang serta Puchong bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan kebakaran pada pukul 2.37 petang. – UTUSAN ONLINE









