PDRM, YTL Corp. tubuh Pusat Kawalan Polis Bantuan dilengkapi AI - Utusan Malaysia

PDRM, YTL Corp. tubuh Pusat Kawalan Polis Bantuan dilengkapi AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Dis. – Konglomerat Malaysia, YTL Corporation Berhad dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencipta sejarah dengan melancarkan Pusat Kawalan Polis Bantuan yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) pertama dalam negara di Jalan Amra Sentul di sini hari ini.

Pusat kawalan dan pasukan Polis Bantuan (PB) YTL yang dirasmikan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim itu bakal menempatkan sebanyak 260 pegawai dan anggota polis berpangkat Timbalan Penguasa Polis, Penolong Penguasa Polis, Inspektor, Sarjan, Koperal dan Konstabel.

“Pasukan PB YTL ini unik berikutan mempunyai pusat kawalan yang dilengkapi komunikasi teknologi canggih dan terkini dinamakan ‘AI based computer vision technology’ yang dapat mengenal pasti pergerakan dan wajah seseorang, penyingkiran objek serta melakukan ‘crowd analysis’ dan banyak lagi.

“Ia juga mempunyai sistem komunikasi berintegrasi yang membolehkan ‘real time communications’ antara anggota bertugas dan pusat kawalan,” katanya dalam sidang akhbar selepas membuat lawatan di premis tersebut di sini hari ini.

Menurut Mazlan, pusat kawalan berkenaan siap sepenuhnya pada 19 Oktober lalu dan penugasan telah dapat dijalankan di sekitar kawasan Sentul Raya dan Bukit Bintang pada tarikh yang sama.

“PDRM berharap dengan penubuhan PB YTL yang dilengkapi teknologi tinggi ini dapat menurunkan jenayah indeks terutamanya di kawasan Bukit Bintang dan Sentul Raya sekali gus membuatkan masyarakat merasa lebih selamat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN