PDRM komited kekalkan keselamatan negara - Utusan Malaysia

PDRM komited kekalkan keselamatan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Dis. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memberikan perkhidmatan terbaik, berintegriti dan saling memperkukuh sinergi demi keamanan dan keselamatan negara sepanjang masa.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, biarpun pelbagai peristiwa berlaku sepanjang 2018, PDRM terus cekal dan komited dalam mendepani cabaran pada tahun-tahun mendatang.

Jelasnya, tahun 2018 meninggalkan pelbagai coretan peristiwa yang telah menguji kesediaan, kekuatan dan kesiapsiagaan pasukan tersebut dalam menangani isu-isu ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“Pada bulan Mei 2018, kita telah berjaya memastikan peralihan tampuk pemerintahan negara menerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 berjalan dengan lancar, tanpa insiden yang tidak diingini.

“PDRM turut mendukung hasrat Kerajaan untuk melahirkan sebuah pentadbiran negara yang bebas rasuah, dengan memperkemaskan tadbir urus, memperkasakan integriti serta menerapkan budaya ‘zero tolerance’ terhadap rasuah,” katanya sempena perutusan Tahun Baharu 2019 di sini hari ini.

Mohamad Fuzi juga menjelaskan PDRM turut berdepan cabaran keselamatan apabila tercetusnya insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 26 November lalu mengakibatkan seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terkorban kerana tugas.

Jelasnya, tindakan pantas pasukan berjaya memastikan insiden tersebut terkawal dan tidak menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara, walaupun terdapat pihak-pihak berkepentingan yang cuba menangguk di air yang keruh

“Berpaksikan prinsip Rukun Negara, PDRM telah memastikan siasatan telus dijalankan daripada segenap aspek, bagi menyelesaikan insiden rusuhan ini demi keadilan semua pihak.

“Malah perhimpunan #DaulatHimpunan812 awal bulan ini berlangsung dengan aman tanpa berlakunya sebarang insiden yang tidak diingini. Kematangan serta tahap profesionalisme kita dalam mengendalikan perhimpunan mendapat pujian daripada pelbagai pihak,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN