PBT diingatkan jangan salah guna kuasa - Tun Mahathir - Utusan Malaysia

PBT diingatkan jangan salah guna kuasa – Tun Mahathir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi peringatan tegas kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara agar tidak menyalahgunakan kuasa termasuk melewatkan urusan pemprosesan permohonan memandangkan ia adalah permulaan rasuah dalam kerajaan.

Perdana Menteri berkata, sekiranya amalan itu tidak dibendung, ia akan berkembang hingga seluruh pentadbiran terlibat dalam gejala rasuah sekali gus menyebabkan pembangunan negara tidak dapat dilakukan seperti yang diharapkan oleh rakyat.

“Kuasa yang diberikan kepada kita bukan untuk kegunaan kita sendiri tetapi untuk menjayakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan kepada kita.

“Kalau kita salah guna kuasa, sudah tentu masyarakat akan menerima beban yang amat berat. Segala kos akan meningkat kerana tiap perkara yang hendak dilakukan memerlukan belanja lebih untuk menyuap mulut yang terbuka-buka kerana mereka ingin dapat sesuatu bagi diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian program Konvesyen Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Konvesyen bertemakan ‘Bandar Kita Milik Kita’ itu julung kali diadakan bagi memperkukuh peranan PBT selaras dengan hala tuju kerajaan selain memberikan peluang kepada ahli majlis untuk bertukar pandangan serta menyumbang idea ke arah menjadikan perkhidmatan PBT lebih dinamik.

Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin serta timbalannya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN