ALOR SETAR 5 Dis. – Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini perlu mengambil tindakan termasuk meroboh dan menyita peralatan perniagaan segelintir penjaja selepas mengambil kira kepentingan dan keselamatan orang awam, kata Datuk Bandar Alor Setar Datuk Mohd Zohdi Saad.
Beliau menjelaskan, tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan terhadap penjaja yang menjalankan perniagaan sehingga menghalang laluan masuk ke kawasan perumahan atau boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
“Setiap peniaga perlu ada permit dan lesen untuk berniaga tetapi bila mereka tidak ikut peraturan dan undang-undang sedia ada, PBT perlu jalankan penguatkuasaan dengan mengambil tindakan terhadap mereka jika menerima aduan daripada orang ramai.
“Sebelum sesuatu tindakan diambil, kita telah ambil kira kepentingan semua pihak termasuk masyarakat dan jika ada peniaga yang berniaga di kawasan yang boleh menghalang laluan masuk taman selain mengganggu lalu lintas itu sangat berbahaya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Katanya, disebabkan itu pihak PBT termasuk Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) perlu mengambil tindakan tegas, namun sebelum berbuat demikian PBT akan mengenalpasti beberapa tempat lain yang sesuai untuk digunakan peniaga meneruskan perniagaan mereka.
Mohd Zohdi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa pendapatan sesetengah peniaga dan penjaja kecil Melayu di Alor Setar terjejas berikutan tindakan PBT yang meroboh dan menyita barang perniagaan mereka.
Pada 25 Nov lalu, Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) Kedah telah menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, mendesak operasi pembersihan peniaga dan penjaja oleh PBT dihentikan segera.
Dalam perkembangan lain, Mohd Zohdi berkata MBAS akan membuka permohonan untuk berniaga di bazar Tahun Baru Cina 2019 bermula 10 Dis sehingga 13 Dis depan.
“Bazar yang akan bermula operasi pada 5 Jan sehingga 3 Feb 2019 akan dibuka di Kawasan Perindustrian Stargate, Tandop dari pukul 5 petang hingga 12 malam. Sebanyak 106 petak yang mewakili tapak makanan dan barangan perhiasan disediakan.
“Kadar harga permit adalah RM373 seunit dan borang boleh diambil di kaunter Pejabat Bahagian Pengurusan Pasar dan Penjaja MBAS dan tarikh undian tapak akan diadakan pada 18 Dis depan di Dewan Besar MBAS,” katanya. – BERNAMA










