Pasaran kewangan terima tempias - Utusan Malaysia

Pasaran kewangan terima tempias

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Nov. – Pasaran kewangan Malaysia menerima kesan daripada perkembangan luaran dengan pasaran kewangan domestik mencatat aliran keluar portfolio bukan pemastautin pada Oktober.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, untuk Oktober juga, ringgit menyusut nilai sebanyak satu peratus di tengah-tengah nilai dolar Amerika Syarikat (AS) yang terus kukuh dan aliran keluar portfolio bukan pemastautin.

Katanya, sentimen positif terhadap dolar AS didorong terutama oleh penyiaran data ekonomi AS yang menggalakkan dan penunjuk rizab simpanan persekutuan AS mengenai cadangan menaikkan kadar faedah selanjutnya.

Bank pusat itu berkata, indeks FBM KLCI juga merosot 4.7 peratus berikutan sentimen pelabur yang menerima kesan daripada penjualan mendadak ekuiti AS disebabkan kegiatan pengambilan untung sebelum pengumuman mengenai perolehan AS.

“Selain itu, kebimbangan terhadap keadaan pembiayaan yang lebih ketat dalam sektor korporat seperti dicerminkan oleh kadar hasil Perbendaharaan AS yang lebih tinggi turut memberi kesan terhadap sentimen,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu lagi, inflasi keseluruhan meningkat kepada 0.6 peratus pada Oktober berbanding 0.3 peratus pada September disebabkan oleh inflasi makanan dan pengangkutan yang lebih tinggi.

Katanya, inflasi makanan yang lebih tinggi mencerminkan terutamanya harga sa­yur-sayuran segar yang lebih tinggi, manakala kenaikan inflasi pengangkutan mencerminkan kesan asas bagi harga petrol RON95, dan harga petrol RON97 yang lebih tinggi pada bulan itu.

“Tidak termasuk kesan perubahan dasar cukai penggunaan, inflasi teras pada amnya stabil pada 1.5 peratus pada Oktober berbanding 1.4 peratus pada bulan sebelumnya,” katanya.

Sementara itu BNM berkata, pembiayaan bersih terus me­ningkat bagi menyokong aktiviti ekonomi dengan merekodkan kadar 7.1 peratus pada Oktober disebabkan pertumbuhan pinjaman sistem perbankan terkumpul yang lebih tinggi pada enam peratus.

Katanya, pinjaman perniagaan terus kukuh dengan pertumbuhan jumlah pinjaman perniagaan yang lebih tinggi pada 5.6 peratus pada Oktober berbanding 4.5 peratus pada September disebabkan oleh pertumbuhan pinjaman kepada bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang meningkat pada kadar 10.5 peratus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN