KANGAR 10 Dis. – Pas negeri menyambut baik cadangan penganjur #DaulatHimpunan812 untuk memperluaskan himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di seluruh negara.

Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli berkata, perhimpunan di seluruh negara itu penting bagi membolehkan rakyat di semua peringkat memahami dengan jelas mengenai keperluan menolak konvensyen tersebut.
Malah menurutnya, himpunan itu juga membuka ruang kepada rakyat yang tidak dapat hadir ke Kuala Lumpur Sabtu lalu untuk turut sama menyertai perhimpunan di peringkat negeri.
“Bagi Pas Perlis, kita sambut baik dan terbuka untuk diadakan himpunan di negeri ini. Pihak penganjur boleh mengadakan perbincangan dengan kami untuk tindakan seterusnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, penganjur #DaulatHimpunan812 mahu menjelajah ke seluruh negara bagi menjelaskan sebab ICERD ditolak oleh orang Melayu.
Malah penganjur juga bercadang menghadap Majlis Raja-Raja bagi memaklumkan perhimpunan aman yang diadakan semalam selain menyuarakan kebimbangan orang Melayu tentang usaha meratifikasi ICERD.
Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Aminuddin Yahya dilaporkan berkata, apa yang berlaku Sabtu lalu sangat luar biasa dan sambutan yang diberikan agak mengejutkan sekali pun pelbagai bentuk rintangan dihadapi oleh beberapa pihak yang cuba menggagalkan perhimpunan tersebut.
Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Azizan Sulaiman berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat dengan Pas bagi membincangkan perkara tersebut sebelum memberikan kenyataan lanjut.
“Kita masih belum menerima apa-apa arahan daripada UMNO Pusat mengenai cadangan penganjur itu. Segala keputusan UMNO pusat kita akan ikut (mengadakan himpunan di Perlis),” katanya.









