KOTA BHARU 18 Dis. – Pas mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy segera mengambil tanggungjawab ‘sosial dan moral’ dengan meletakkan jawatan serta-merta kerana gagal mengawal keadaan ketika insiden rusuhan kuil di Subang Jaya, bulan lalu
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Waytha Moorthy bukan sahaja gagal mengawal keadaan, malah memburukkan lagi situasi sehingga membawa kepada kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim, malam tadi.
Selain itu katanya, Waytha Moorthy juga didapati bersikap tidak profesional serta berbohong dengan menyalahkan pihak berkuasa terutama polis yang dikatakan gagal mengawal keadaan.
“Segala fakta yang diberikan oleh beliau tentang tindakan pihak polis bercanggah dengan keterangan fakta yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri semasa menjelaskan tentang tragedi ini di dalam Dewan Rakyat pada 29 November lalu.
“Pas sekali lagi mendesak beliau meletakkan jawatan serta-merta dan digantikan dengan seorang pemimpin kaum India yang lebih berwibawa bagi tujuan mewujudkan perpaduan dan semangat setiakawan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Muhammad Adib yang parah dipukul perusuh ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya bulan lalu disahkan meninggal dunia pada pukul 9.41 malam tadi ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, Pas dari awal memandangkan berat kejadian rusuhan yang berlaku, lebih-lebih lagi tindakan perusuh yang melakukan serangan ke atas anggota keselamatan dan merosakkan jentera serta kenderaan mereka.
Katanya, kemuncak kepada tragedi iaitu kematian Muhammad Adib merupakan satu lagi titik hitam dalam konteks ketenteraman dan perpaduan negara yang amat menyedihkan. – UTUSAN ONLINE










