KUALA LUMPUR – Kerajaan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2018 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
Pembentangan dibuat Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.
Anthony ketika ditemui di lobi Parlimen menjelaskan RUU itu antara lain akan memberi kuasa kepada Majlis Bandaraya untuk menubuhkan pasukan warden lalu lintasnya sendiri.
Menurutnya, penubuhan pasukan itu dapat membantu anggota polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam melakukan tugas rondaan dan menjaga lalu lintas di bandar raya besar.
Beliau juga berkata, pindaan baharu itu juga bakal menambah baik proses pembatalan pendaftaran kenderaan bagi memudahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) melupuskan kenderaan terbiar. – Bernama










