KUALA LUMPUR – Kerajaan komited mewujudkan semula Majlis Profesor Negara yang baharu sebagai badan yang betul-betul bebas daripada pengaruh politik bagi membantu kerajaan membangunkan negara.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin berkata, kerajaan tidak mahu lagi badan itu hanya menjadi jurucakap yang berkempen kepada kerajaan.
“Kalau nak jadi begitu mereka disaran buka pakaian akademik dan jadi anggota politik, bersama kita lawan secara ‘gentleman’,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Rusnah Aluai (PH-Tangga Batu) yang mahu tahu sama ada kerajaan mempunyai cadangan untuk melantik semula profesor yang ‘genuine’ yang tidak taksub kepada mana-mana parti politik untuk dimanfaatkan kepakaran mereka menganggotai mana-mana badan sebagai pemikir negara.
“Mereka ini (anggota MPN) tak sewajarnya menganggotai parti politik, malahan jika sekiranya mereka sokong Pakatan Harapan pun kami tak galakkan, kerana bagi kami mereka mesti bebas,” katanya. – Bernama









