KUALA LUMPUR – Guru yang berasal dari Kedah, Kelantan dan Terengganu merupakan antara yang paling ramai membuat permohonan pertukaran dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata, guru sekolah rendah paling ramai memohon keluar dari Sarawak ke Semenanjung ialah seramai 386 orang untuk ke Kedah, diikuti Terengganu 298 orang, Kelantan (252) dan Johor (107).
Beliau berkata, guru sekolah menengah memohon keluar dari Sarawak ke Semenanjung pula ialah 197 orang ke Kelantan, Terengganu (152), Perak (149) dan Kedah (123).
“Guru sekolah rendah paling ramai memohon keluar dari Sabah ke Semenanjung ialah ke Kelantan seramai 201 orang, Kedah (156), Terengganu (108) dan Perak (101) sementara guru sekolah menengah yang memohon ke Kelantan adalah seramai 223 orang, Terengganu (116) Selangor (91) dan Kedah (86),” katanya pada sesi jawab lisan hari ini.
Maszlee berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang ingin tahu negeri mana di Semenanjung yang paling banyak pertukaran dimohon guru yang mengajar di Sabah dan Sarawak. – Bernama









