UTUSAN MELAYU bukan sebuah syarikat perniagaan akhbar biasa. Sejarah penglibatan syarikat akhbar ini dalam catatan sejarah negara terlalu besar untuk dipinggirkan. Dari sebelum merdeka lagi ia telah mencatat suka duka yang dilalui negara dari sejak dikenali sebagai Tanah Melayu kepada Malaya dan kemudian Malaysia.
Seperti mana nama negara ini yang bermula Melayu (Malay-sia) begitu juga nama syarikat akhbar ini yang tercatat bangsa yang sama. Sukar dipisahkan kewujudan akhbar ini kerana sedar atau tidak ramai yang membesar sebagai pembaca akhbar ini.
Dengan kisah hiburan dan nama besar sejak zaman P. Ramlee lagi dan rencana dan laporan sukan yang segar dan berwibawa. Itu belum lagi bercerita tentang kehebatan laporan politik yang semua maklum sangat kontroversi sejak dahulu apatah lagi pada zaman rejim sebelum ini.
Memang benar ada laporan dan rencana jelas berpihak dan mempunyai kepentingan tertentu tetapi apakan daya keadaan ketika itu umpama diluah mati mak ditelan mati bapak.
Kini pemilik syarikat ini yang diambil alih pada 1953 telah kalah dalam pilihan raya lalu dan keadaan semakin meruncing. UMNO hanya bertindak drastik dengan pengambilalihan besar-besaran pada 1961 kerana Utusan Melayu dilihat menyokong haluan kiri.
Sejarah Utusan Melayu banyak berubah selepas itu tetapi tetap tidak lari jauh dari matlamat kepada rakyat.
Perjuangan Utusan Melayu telah berubah mengikut arus semasa sama ada terikat atau tidak dengan tuntutan dan tekanan politik. Namun sama ada ketika di bawah pejuang kiri atau ketika dikuasai oleh pejuang kanan, jati diri Utusan Melayu tetap sama dan tidak berubah malah lebih menyerlah tatkala tercabar.
Hanya seperti yang semua maklum akibat krisis politik ketika era penghujung 1990-an antara Dr. Mahathir Mohamad – Anwar Ibrahim, telah banyak memberi luka parah dan noktah hitam dalam pelaporan berita tanah air terutama melibatkan akhbar ini.
Walaupun Dr. Mahathir telah meletak jawatan pada 2003, masih lagi nama Anwar yang menjadi watak utama dalam pemberitaan politik walau Perdana Menteri bersilih ganti. Hinggalah beliau dinamakan sebagai pengganti Dr. Mahathir pada pilihan raya lepas, beliau masih tetap watak utama dalam politik tanah air walaupun disumbat ke penjara sebanyak dua kali.
• Sisa kasih
Kini keadaan sudah jadi terbalik dan Utusan Melayu turut sama hampir terjerumus. Kuasa politik mampu membungkam semua terlibat dengan rejim lama dan akhbar ini umpama telur di hujung tanduk.
Terlalu banyak kepincangan yang mampu merudum terus akhbar ini. Apatah lagi dengan serangan luaran terutama dalam media sosial menambah lagi luka yang sedia parah.
Namun waima apa berlaku dalam apa jua keadaan akhbar ini tetap mampu berjalan seperti biasa. Bukan kerana wang ringgit yang dicita namun semangat dan nama Utusan Melayu itu sendiri yang mencabar petugasnya dalam menjalankan amanah.
Laporan beritanya kini semakin menarik dan tidak lagi terlalu berpihak. Watak dan tokoh yang dulunya hampir tidak diberi ruang kini semakin mesra dengan akhbar ini. Begitu juga rencananya semakin kritikal dan diterima ramai dalam era harapan baharu.
“Rencana perlu kembali kritis dan mengajak rakyat aktif berfikir kerana zaman ‘memperkosa’ pemikiran pembaca sudah berlalu,” tegur beberapa sahabat yang aktif dalam politik. Saya hanya mampu tersenyum.
Alhamdulillah, semua ini jelas ada rahmat dalam kepahitan yang dilalui Utusan Melayu itu sendiri sejak PRU lalu. Kini ia lebih pada mempertahan nilai yang diperjuang para pengasas akhbar ini sejak 80 tahun lalu.
Universiti Utusan seperti digelar rakan-rakan yang pergi dan masih terasa kehilangannya, perlu terus teguh demi kelangsungan terutama melalui medium baharu. Apatah lagi smart phone kini umpama kekasih gelap yang tidak boleh dipisah semua orang.
Mungkin sudah jodohnya Anwar akan ganti Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri kelapan. Dan mungkin ada baiknya dibantu pulihkan akhbar ini, sekurang-kurangnya jika masih ada sisa kasih.
Bukanlah sehingga tahap mengemis tetapi kalau Anwar boleh dimaafkan, apatah lagi Utusan Melayu yang dahulu banyak membantu semasa Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat.
Waima apapun berlaku, Utusan Melayu perlu tetap kekal sebagai Utusan Melayu walau siapa pun memerintah. Bukan lagi menjadi pak angguk kepada pihak musibat tetapi soal rakyat menjadi adat dan Islam dan Melayu akan kekal terpahat.










