Operator kilang pukul isteri guna kerusi plastik dijel setahun - Utusan Malaysia

Operator kilang pukul isteri guna kerusi plastik dijel setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Seorang operator kilang dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memukul isterinya menggunakan kerusi plastik pada Mei lalu.

Tertuduh, Mohd. Faiz Idris, 31, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Siti Mariam Mohd. Nor, 30, dengan cara memukul mangsa menggunakan kerusi plastik di bahagian kepala, tangan dan kaki mangsa. 

Tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 11.45 malam di sebuah rumah di Taman Sejati Merlimau, Jasin pada 12 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan-seksaan itu. 

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Wai Yi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Elesabet kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama setahun terhadap tertuduh bermula hari ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×