IPOH – Sebuah restoran makanan segera di Taman Ipoh di sini terpaksa dikosongkan selepas seorang seorang pelanggan menemui satu objek hitam disangka bom di atas pam tandas wanita bersama nota ugutan yang ditulis di dinding tandas premis tersebut lewat malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, polis terpaksa mengarahkan premis tersebut dikosongkan selepas pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada pukul 9 malam.
“Berdasarkan maklumat tersebut, Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dihantar ke lokasi kejadian sebelum pemeriksaan lanjut dibuat.
“Pemeriksaan di tandas wanita di tingkat atas premis tersebut mendapati terdapat satu objek dibalut pita pelekat berwarna hitam dengan gulungan wayar di atas Pam tandas bersama tulisan ‘Tempat ini akan meletup’ yang ditulis menggunakan pen penanda merah di dinding,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian malam tadi.
Tambah Mohd. Ali, hasil pemeriksaan lanjut bagaimanapun mendapati objek berkenaan hanya mengandungi gulungan wayar tiga jenis pelbagai warna bersama penutup botol.
“Polis mengesahkan bangunan dua tingkat ini selamat untuk dihuni dan tiada sebarang insiden letupan berlaku.
“Kita sedang menyiasat motif kejadian dan individu yang melakukannya. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya.
Difahamkan, lebih 20 pelanggan dan pekerja restoran berada di dalam premis berkenaan.
Sementara itu, seorang pekerja yang dikenali sebagai Elan, 22, berkata, objek itu dijumpai seorang pelanggan wanita yang ingin menggunakan tandas sebelum memaklumkan penemuan itu kepada juruwang di kaunter.
“Curiga dengan objek itu, kami segera menghubungi pihak polis dan mereka kemudiannya mengarahkan kami agar mengosongkan bangunan. Ketika itu ada beberapa pelanggan yang sedang makan di tingkat atas,” katanya. – K! ONLINE










