RANTAU PANJANG 10 Dis. – Masalah obesiti dan ketagihan rokok menjadi penyumbang utama penduduk di kawasan luar bandar khususnya di Kampung Semuba, Chetok di sini terdedah dengan risiko penyakit jantung.
Perkara itu didedahkan oleh pelajar tahun akhir jurusan perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian hasil kajian secara rambang dilakukan ke atas 100 penduduk di kampung berkenaan pada bulan lalu.
Ketua kumpulan, Rabeenash Singh berkata, dapatan kajian itu jelas menunjukkan kesihatan jantung penduduk berada pada tahap rendah disebabkan masalah obesiti yang berpunca dari amalan pemakanan tidak sihat dan merokok.
Menurutnya, daripada kedua faktor itu, merokok menjadi cabaran getir yang terpaksa diharungi oleh mereka dalam meningkatkan kesedaran risiko penyakit jantung.
“Kebanyakkan penduduk menjadi rokok sebagai ‘alat’ untuk meredakan tekanan setelah penat bekerja.
“Kita dapati penduduk di sini sukar untuk meninggalkan tabiat merokok yang dilihat sudah sebati dengan mereka,” katanya, di sini hari ini.
Rabeenash memberitahu, bagaimanapun perkara itu sama sekali tidak mematahkan semangat mereka untuk terus menitip kesedaran bahaya rokok.
Katanya, mereka akan terus turun padang untuk memberikan penerangan bagi meningkatkan lagi tahap kesedaran tersebut.
“Saya gembira, sepanjang lima hari berada di sini mereka memberikan respon positif terhadap kesihatan jantung.
“Kita akan harap semangat sayangkan jantung ini akan terus berkekalan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










