KUALA KEDAH 19 Dis. – Tunang Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim, Nurul Najihah Mohd. Radzi, 25, berada dalam keadaan baik, namun memerlukan sedikit ruang untuk menenangkan fikiran dan berehat.
Perkara itu dikongsi kakaknya, Nurul Najwa yang memaklumkan keadaan semasa adik keduanya susulan kematian tunang yang meninggal dunia selepas parah dibelasah perusuh di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, akhir bulan lalu.
“Jieha (Nurul Najihah) okey, cuma perlukan ruang, sorry na (maaf ya) dan terima kasih kerana memahami,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.
Tambah Nurul Najwa, majlis perkahwinan adiknya itu pada hujung minggu ini telah dibatalkan dan ahli keluarganya juga mahu berehat selepas kejadian menimpa anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya itu.
Dalam kejadian pada 27 November lalu, Muhammad Adib, 24, kritikal selepas dibelasah sekumpulan perusuh ketika tiba di kawasan kuil berkenaan bagi memadam satu kebakaran kereta.
Selepas 21 hari dirawat, Muhammad Adib bagaimanapun telah meninggal dunia pada pukul 9.41 malam kelmarin di Institut Jantung Negara (IJN) selepas tahap kesihatannya kembali merosot akibat kecederaan dalaman yang dialaminya.
Nurul Najihah menerusi entri dalam laman sosial Instagram miliknya kelmarin turut meluahkan rasa sedih atas pemergian bakal suaminya itu di saat menjelang hari pernikahan yang telah lama dirancang.
“Al-Fatihah Kudip (Muhammad Adib). Esok (semalam) kita sama-sama cuti untuk balik kampung untuk wedding (perkahwinan) kita.
“Ya abang. Kita balik sama-sama. Patutnya kita balik drive (berkereta). Tapi orang balik juga dengan abang, tapi abang dalam keadaan kaku,” catatnya dengan memuat naik gambar kad jemputan perkahwinan mereka yang bertarikh 22 Disember.
Sementara itu, Nurul Najwa mengakui sebahagian kad jemputan majlis perkahwinan adiknya itu telah diedarkan namun enggan mengulas lanjut termasuk persiapan pihak keluarganya. – UTUSAN ONLINE










